Pengaruh Warna Dalam Penampilan.
Setiap hari mewakili warna-warna tertentu, pemakaian baju atau aksesori
mengikut warna tersebut akan menyerlah aura positif dalam diri anda.
Jom kenali aura warna mengikut hari.
Putih polos
Hari Isnin menjadi permulaan hari, lantaran amat penting untuk kita
memilih rona pakaian yang sesuai untuk membantu membangkitkan mood. Putih
adalah pilihan yang sesuai, warna ini polos dan suci. Ia membantu minda
kita relaks dan persiapkan diri untuk memulakan hari. Warna putih
memberi impak bersih dan tenang kepada si pemakai. Tidak semestinya anda
menggayakan semua busana putih sebaliknya sedikit palitan warna ini
sudah mencukupi.
Kekuatan merah jambu &ungu
Rona-rona lembut sentiasa menjadi pilihan terutama kaum Hawa. Merah
jambu dan ungu mewakili imej sopan dan manis. Warna ini mempunyai aura
yang sangat positif, pemakainya akan menjadi lebih bersemangat dan yakin
untuk melaksana segala urusan atau tugasan yang diamanahkan. Gayakan
salah satu rona ini dan nikmati sensasi aura warna tersebut.
Biru hari membuat keputusan
Bagi orang yang arif tentang warna, mereka akan memilih biru untuk hari
Rabu. Warna ini melambangkan ketenangan, kematangan dan rasional. Ada
sesetengah syarikat atau organisasi yang membuat mesyuarat pada hari
Rabu, golongan ini percaya aura warna biru akan mempengaruhi mereka
membuat keputusan yang tepat. Begitu juga dengan kehidupan peribadi,
manfaatkan kekuatan rona biru untuk keputusan bijak.
Oren & kuning menceriakan
Hari Khamis menjadi hari yang sangat sibuk bagi kebanyakan orang. Hari
berikut kemuncak untuk memastikan urusan minggu tersebut berjalan
lancar. Lantaran, warna kuning, oren atau jingga dijadikan pilihan.
Warna ini mempunyai tenaga luar biasa, ia membiaskan keceriaan dan
membuatkan si pemakai aktif serta bertenaga.
Hijau menyegarkan
Melihat warna hijau bagaikan terapi selepas berpenat lelah. Warna ini
amat sesuai digayakan pada hari Jumaat, aura hijau memancarkan kesegaran
dan memberi terapi istimewa kepada kita. Pilih kumpulan rona hijau yang
sesuai dengan diri anda, sama ada hijau muda, pucuk pisang atau hijau
tua. Tepuk dada, tanya selera.
Merah penuh tenaga
Selepas memerah otak, Sabtu menjadi hari berlibur untuk bersama
keluarga, si dia mahupun teman-teman. Pastinya hari tersebut penuh
dengan aktiviti menarik, usah ragu-ragu menggayakan rona merah. Bukan
sahaja menarik perhatian, malah warna ini memantulkan tenaga luar biasa
buat anda.
Hitam penutup hari
Ahad hari untuk istirahat di rumah, anda memerlukan privasi untuk
menenangkan fikiran dan merehatkan tubuh bagi memulakan hari baru.
Rona-rona gelap membantu anda mendapatkan mood untuk tujuan tersebut.
No comments:
Post a Comment